Tuesday, March 16, 2010

MINDA MEDIK


Motivasi Minda Medik ke-3 Membuka Wadah Baru HALUANSiswa
Monday, 08 March 2010 00:00 Muhammad Muzakkir


KUALA LUMPUR, 7 Mac 2010- HALUANSiswa Medics (HSM), sebuah gabungan inter-kampus pelajar IPT bidang perubatan dan sains kesihatan, telah berjaya menganjurkan sesi Motivasi Minda Medik (3M) yang ke-3 baru-baru ini. Program satu hari itu yang di laksanakan dengan kerjasama Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) bertujuan untuk mengukuhkan jalinan ukhuwah dikalangan ahli Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) dan HALUANSiswa Medics, dan juga menyelaraskan gerak kerja HALUANSiswa Medics sepanjang tahun 2010. Himpunan Minda Medics telah menghimpunkan wakil-wakil HALUANSiswa Medics daripada Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM). Turut hadir ialah ahli KKH yang terdiri daripada doktor-doktor dari pelbagai bidang.
Program bermula pukul 9.00 pagi dengan ucapan aluan daripada Dr Burhanudin Busu yang merupakan Ketua Biro IPT KKH diikuti ucaptama oleh Ketua Biro Profesional HALUAN serta Mantan Pengerusi KKH, Dr Mohd Zamrin Dimon. Beliau menekankan peri pentingnya bagi setiap ahli KKH dan HALUANSiswa Medics agar sentiasa berhati-hati dengan kesibukan realiti yang ada sehingga menghanyutkan kita mengikut arus yang tidak berlandaskan Islam. Beliau turun memberi fokus berkenaan keperluan kefahaman yang mendalam, perancangan yang rapi, serta usaha yang berterusan dalam setiap gerak kerja KKH dan HALUANSiswa Medics. Di akhir ucaptama, beliau sempat memberi perkembangan terkini KKH/Kobar/Barakah. Dalam rangka mendidik dan berbakti, para ahli HALUANSiswa Medics harus berusaha menjadi pemikir dan pekerja yang mampu membentuk arus perubahan dalam masyarakat.Sesi Pengalaman Khidmat Masyarakat telah disampaikan oleh Dr Kursiah Mohd Razali, Pakar Oftalmologi di Hospital Sultanah Bahiyah. Dr Kursiah menekankan keperluan untuk ahli-ahli HALUANSiswa Medics keluar memberi khidmat kepada masyarakat tanpa mengharapkan ganjaran dan balasan. Di samping itu, beliau menegaskan keperluan ahli-ahli untuk sentiasa menghiaskan diri dengan syakhsiah yang baik agar dapat menyampaikan mesej Islam yang sebenar kepada masyarakat. Persiapan yang harus ada bagi seorang relawan untuk terjun berkhidmat kepada masyarakat adalah persiapan ruh, fizikal, dan aqal. Namun, beliau amat menekankan persiapan ruh, iaitu hubungan dengan Allah SWT yang sentiasa terpelihara sepanjang tugas khidmat masyarakat.Dalam sesi berikutnya, peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk berta'aruf dengan lebih rapat di antara ahli KKH dan ahli HALUANSiswa Medics, dan seterusnya berbengkel mengenai pengalaman dan cabaran dalam gerak kerja dakwah dan tarbiyah di kampus masing-masing. Alhamdulillah, banyak input-input yang bernas daripada peserta-peserta yang dapat diaplikasikan agar dapat mengembangkan potensi ahli-ahli HALUANSiswa Medics dan program-program anjuran HALUANSiswa Medics.
Peserta seterusnya mendengar taklimat daripada Ahli Majlis Tertinggi HALUANSiswa Nasional, Sdr Muhammad Shakir Sabarudin berkenaan sejarah HS, perkembangan terkini HS, struktur organisasi HS, aktiviti-aktiviti HS, harapan HS, dan sebagainya. Beliau turut menekankan keperluan bagi setiap ahli HALUANSiswa Medics untuk menghayati hakikat moto HS iaitu Bersahsiah, Dekat dan Bererti. Keberadaan dalam HS ialah untuk memahami Islam yang sebenar, dan juga memberi impak kepada perkembangan kefahaman Islam di kalangan masyarakat kampus. Beliau turut menyentuh tentang keikhlasan dalam bekerja, dan juga kepentingan pembentukan hati dalam setiap program anjuran HS, bukan sekadar kehebatan penganjuran program semata-mata. Di akhir taklimat beliau, beliau memberi sedikit pengalaman sepanjang bergerak aktif dalam HS Nasional.
Slot seterusnya diteruskan dengan ucapan oleh Pengerusi KKH, Dr Basir Towil. Beliau mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur dan peserta program dalam menjayakan Motivasi Minda Medik ke-3 ini. Beliau turut berkongsi rasa hati dan juga menekankan kepentingan hubungan yang baik dikalangan HALUANSiswa Medics dan juga KKH. Hal ini kerana ahli HALUANSiswa Medics akan meneruskan khidmat bersama KKH setelah tamat pengajian kelak. Dr Basir turut menyampaikan sumbangan dana daripada KKH kepada HALUANSiswa Medics untuk kelancaran program pada masa akan datang.Majlis penutup telah disempurnakan oleh Pengerusi HALUANSiswa Nasional, Sdr Solehuddin Shuib. Beliau mengajak ahli KKH & HALUANSiswa Medics supaya sentiasa merasai bahawa kehidupan ini adalah suatu musafir yang jauh. Musafir menuju syurga abadi. Namun, hakikat sepanjang musafir ini ialah akan berlaku pertarungan di antara haq dan batil. Musafir ini juga memerlukan bekalan yang cukup dan bekalan paling utama ialah Taqwa. Di akhirnya, beliau menegaskan bahawa para ahli KKH dan HALUANSiswa Medics harus sentiasa berlumba-lumba ke arah kebaikan serta istiqamah dalam rombongan dakwah ini agar di akhirnya, musafir ini akan tiba ke destinasi yang sentiasa diimpi-impikan.Disediakan oleh : Dr Mohammad Hudzaifah b Nordin (Pengerusi SiswaHALUAN USIM)

0 comments:

Post a Comment