Thursday, May 20, 2010

AMANAT DARI PEJUANG...



“Aku hanya berwasiat pada kalian andainya kami tiada – teruskanlah perjuangan ini, tingkatkanlah dakwah kepada masyarakat, mantapkanlah tarbiyah diri, keluarga dan anak-anak didik kalian yang ada.”
Demikian antara amanat yang ditinggalkan oleh Ketua misi konvoi Lifeline4Gaza dari Malaysia ke Gaza, Sdr Noorazman Mohd Samsuddin yang akan berangkat ke Turki pada 19hb Mei nanti. Amanat tersebut dibuat selepas senarai peserta konvoi dari Malaysia diumumkan. Peserta konvoi dipilih dan disaring oleh penganjur utama projek, Pertubuhan Hak Asasi dan Bantuan Kemanusiaan (IHH) yang berpusat di Turki. Seramai 6 orang sukarelawan dan 4 orang wakil media dari Malaysia akan menyertai konvoi kapal antarabangsa bersama-sama dengan lebih daripada 600 orang peserta dari puluhan negara.
“Saya bagi pihak peserta yang lain menyusun sepuluh jari memohon maaf sekiranya ada apa-apa kesalahan, kesilapan yang dilakukan sebelum ini.
Sekiranya kami tidak pulang ke Malaysia, maafkanlah kesalahan kami, halalkanlah makan minum kami, bantulah keluarga kami.”
“Semoga Allah terima semua amalan kita.”
“Ya Allah! Kuatkanlah hati-hati kami atas jalanMU.”
Beliau juga meninggalkan pesan kepada seluruh warga yang prihatin dengan perjuangan membebaskan bumi Palestin agar terus berjuang tanpa henti. Begitu juga kepada semua yang cakna dengan masa depan umat agar mempertingkatkan usaha dakwah kepada masyarakat dan memantapkan usaha tarbiyah bermula dengan diri dan ahli keluarga dan seterusnya anggota masyarakat.
“Aku hanya berwasiat pada kalian andainya kami tiada – teruskanlah perjuangan ini, tingkatkanlah dakwah kepada masyarakat, mantapkanlah tarbiyah diri, keluarga dan anak-anak didik kalian yang ada.”
“Jangan biarkan darah yang gugur di bumi Al-Aqsa menjadi hujah menentang kita di hadapan Allah atas kelalaian, kemalasan dan kejumudan amalan-amalan kita.”
“Ya Allah! Bantulah kami”
Peserta konvoi dari Malaysia akan bertolak ke Istanbul pada 19hb Mei dengan kapal terbang untuk menaiki kapal yang sedang menunggu di sana. Konvoi kapal dijangka akan bertolak dari Istanbul ke Antolia (Antalya) pada 21hb Mei dan akan belayar ke Gaza dua hari kemudian. -ihhh

0 comments:

Post a Comment