Tuesday, May 18, 2010

Program HO/MO




Pelapis KKH Anjur Seminar MOHO



Ibarat menganyam, lama menyulam tikar melarik coraknya. Hasil titik peluh ahli-ahli Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) dan pentadbir pendidikan HALUAN di negeri-negeri yang mempunyai universiti pengajian perubatan, kini anak-anak muda lulusan perubatan berjaya menganjurkan seminar MOHO (Medical Officer / House Officer) mereka pada 17 April 2010.

Seminar sehari suntuk di Kajang, Selangor itu dirancang dan dikendalikan sepenuhnya oleh tenaga muda doktor-doktor lelaki dan wanita dari Wilayah Tengah. Seminar penuh bermanfaat itu melibatkan generasi pelapis KKH dan telah disertai oleh sekitar 30 orang doktor dari seluruh Semenanjung Malaysia.

Para doktor muda pewaris KKH
Seminar ilmiah sehari yang bersifat ”a get-together” itu dimulakan dengan pembentangan kertas kerja oleh Haji Noorazman Mohd Shamsuddin bertajuk ”Pemantapan Ukhuwah di Alam Pekerjaan”. Seterusnya, seminar disusuli pula dengan slot forum yang telah dipanelkan oleh pakar ortopedik Dr Basir Towil, pemilik klinik yang berjaya Dr Nor Azian Hasnan, dan pakar radiologi Dr Suraiya Ibrahim. Berbagai pengalaman ahli KKH seniors dikongsikan bersama sebagai inspirasi kepada golongan muda.

Para MOHO bergembira dengan pertemuan itu kerana selepas itu mereka disajikan pula dengan sesi brainstorming pada sebelah petangnya. Setiap peserta diberikan ruang dan masa secukupnya untuk bertanya dan melepaskan sesak di dada akibat tekanan dalam alam pekerjaan di hospital yang sangat mencabar bersama para doktor seniors yang sudah lama berpengalaman.

Sessi terakhir daripada Dr Syed Haleem Syed Hasan al-Haddad cukup menyentuh hati dan berjaya mencerna minda peserta untuk mengharungi kehidupan sebagai doktor muda yang kerap tidak cukup rehat dan tidur berbanding graduan di bidang-bidang lain. Kalam akhir diperindahkan lagi dengan mutiara amanat daripada seniors-seniors pakar KKH seperti Dr Noram Ramli, Dr Burhanuddin Busu dan Dr Mohd Zamrin Dimon sebagai pelabuh tirai.

Amnya, seminar itu telah berjaya mencapai objektifnya dan menimbulkan kesedaran tentang betapa pentingnya untuk terus hidup sebagai seorang dai’e dan da’iyah di jalan Allah SWT, kerana itulah tuntutan ke atas setiap profesional Muslim yang sentiasa bimbang akan datangnya hari pembalasan.

Sehari selembar benang, lama-lama jadi kain
Jasa seniors kami kenang, jumpa lagi di tahun lain.

------------------------

Laporan oleh Dr Sharifah Khaida Syed Shahab

0 comments:

Post a Comment